Tuesday, January 25, 2011

Cerita 1 Malam

Hai semua,

Kita berjumpa lagi. Aku nak mulakan cerita seribu satu malam ni dengan cerita seram yang pertama kali aku dengar dalam  hidup aku. Kiranya sejak aku lahir sampailah ke hari itu, itulah pertama kali aku faham apa tu cerita hantu. Masa tu umur aku lebih kurang dalam 5 ke 6 tahun. Kakak akulah yang pedajal kat aku. Dia tanya aku nak dengar cerita tak. Masa tu kita orang dah nak tidur dah. Aku pun ok jer. Ingatkan dia nak cerita arnab dengan kura-kura ke, sang kancil dengan buaya ke atau ape-ape jelah yang sewaktu dengannya. So aku pun dengar dengan penuh konsentrasi yang memang tak di buat-buat. Cerita nilah yang membuatkan aku terus berminat dengan alam ghaib dan misteri ni.

Ceritanya bermula begini...

Pada suatu masa dulu, ada seorang budak lelaki ni. Nama dia Ali. Dia ni anak yatim piatu. Mak bapak dia dah meninggal masa dia kecil-kecil dulu. Jadi sekarang ni dia dibela oleh nenek dia. Nenek dia tu pun sebatang kara macam dia jugak. Dia dengan nenek dia duduk di sebuah pondok usang yang dah nak roboh. Ali ni budak nya baik, rajin, pandai mengaji Quran dan sangat sayangkan nenek dia tu. Pendek kata baik macam Ustaz Amirul yang kat TV3 tu lah. Orang-orang kampung pun semua suka kat dia. Tapi kesian, hidup mereka tu miskin sangat. Orang kata kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Kalau tak kais tu memang tak makan lah jawabnya.

Oleh kerana dah tak tahan dengan arus kemiskinan yang melanda kehidupan mereka tu. Ali pun bercadang hendak berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. Jadi, pada suatu petang, sambil menikmati kopi O panas bersama ubi rebus cecah sambal belacan, Ali pun bersuara. "Nek, Ali rasakan, Ali nak pergi kerja kat KL lah nek." Nenek Ali yang tengah mengunyah tu pun tersedak. Bukan apa, dia kunyah sambal belacan je. Lupa nak ambil ubinya. Tu yang tersedak tu. Pedas.... Selepas dia menegok dua tiga tegok kopi O, nenek Ali pun berkata, "Kau nak kerja apa Li? Kau tu takde SPM. Ada ke orang nak ambik kau bekerja nanti?" Ali memandang wajah nenek kesayangannya tu lalu berkata, "Nek, Ali tahulah Ali ni takde SPM. Ali bukannya nak minta kerja jadi doktor ke, lawyer ke, magistrate ke. Ali cuma nak mintak kerja jadi mat despatch je. Kerja macam tu takde SPM pun takpe nek. Asalkan Ali tunjukkan yang Ali ni rajin bekerja, Insya Allah boleh dapat nek." Nenek Ali terdiam sejenak seolah-olah memikirkan sesuatu. Berkerut-kerut dahi dia. Ali mula tersenyum. Dia dapat merasakan yang neneknya akan bersetuju dengan cadangannya tu. Tiba-tiba nenek Ali bersuara. "Suka hati kau lah Li. Tapi kau jangan lupa selalu balik ke kampung ni jengok-jengok kat nenek ye? Nenek dah takde sapa lagi dah kecuali kau sorang je."

Sebaik mendengar kata-kata neneknya, Ali ketawa berdekah-dekah bukan kerana kegembiraan neneknya bersetuju dengan cadangannya tetapi kerana neneknya buat lawak di petang hari. "Nenek ni... kelakarlah. Memanglah Ali akan balik ke kampung ni. Kalau tak, Ali nak tinggal mana? KL dengan Kampung Baru ni sekangkang kera je nek." "Oohhh.... ye ke?" Nenek Ali menarik nafas lega. "Tapi kan nek, Ali nak mintak tolong sikit boleh tak?" "Nak mintak tolong apa?" "Boleh tak nenek pinjamkan Ali duit sikit? Ali nak buat beli motor lah nek. Kalau nak jadi despatch mesti nak ada motor. Baru senang dapat kerja." Nenek Ali menggeleng-gelengkan kepalanya. "Ali... Ali... kalau nenek ada duit nak belikan kau motor, kita tak makan ubi rebus dengan sambal belacan ni Li. Baik nenek order KFC lagi sedap. Haiz... patutlah kau 'fail' SPM. Itu pun kau tak tahu." Ali yang termalu-malu tu pun tersengih aje mendengar cakap neneknya. "Takpelah nek. Kalau ada rezeki Li nak jadi despatch tu nanti Insya Allah dapat jugak walaupun takde motor." "Hah... tau takpe..." Nenek Ali menjawab selamba.

Selang beberapa hari kemudian di waktu senjakala, Ali terjerit-jerit sambil melompat kegembiraan di hadapan pondok usangya itu. Neneknya yang baru hendak melepaskan lelah di tepi dinding terperanjat besar lalu terus meluru ke depan pintu. "Kenapa Li? Kenapa? Apasal ni?" Nenek Ali kelihatan cemas. Sangkanya cucunya itu dah kerasukan jin sebab terjerit-jerit pada waktu senja begitu. Ali yang mendengar panggilan neneknya itu terus meluru kearahnya. "Nek! Ali dah dapat kerja nek. Ali dah dapat kerja kat KL. Yeh yeh! Cuba nenek baca surat ni" Kata Ali sambil menghulurkan sekeping surat ke arah neneknya. "Takpe, takpe... nenek percaya. Nenek bukannya reti baca pun. Kau dapat kerja apa ni Li?" "Kerja despatch nek. Macam yang Li cakap hari tu lah. Li dapat kerja kat area Bukit Bintang nek. Gaji dia lapan ratus sebulan nek." Nenek Ali memandangnya dengan penuh kehairanan. "Kau kan takde motor. Macam mana kau boleh dapat kerja ni?" Ali tersenyum sambil berkata, "Takpe nek. Masa interview hari tu boss Li kata kenderaan disediakan." "Ooohhh ye ke. Baguslah kalau macam tu. Syukur...." Nenek Ali pun tersenyum senang. Hatinya mula berbunga harapan yang kehidupan mereka akan menjadi semakin senang nanti. 

Setelah enam bulan berlalu, Ali sudah semakin banyak berubah. Sebulan dua aje neneknya dapat merasa senang dengan duit gajinya tapi sejak kebelakangan ni Ali jarang balik ke rumah dan kalau balik pun dalam keadaan yang tidak terurus. Ali bukan lagi Ali yang dulu. Bukan lagi Ali budak yang baik, yang rajin, yang sayangkan neneknya. Tapi Ali kini adalah Ali mat rempit. Motor yang diberikan oleh majikannya, digunakan untuk merempit pada waktu malam dan untuk mengusung anak dara orang ke hulu ke hilir. Ali kini juga dah pandai pergi ke KTV dan disko. Neneknya cuba bertanyakan apakah yang telah merasuk fikiran Ali. Tetapi setiap kali neneknya cuba bersuara, herdikan dan tempikan yang diterima. Hari demi hari perangai Ali telah menjadi dari buruk ke teruk. Lebih teruk dari beruk.

Pada suatu malam, semasa nenek Ali sedang mengaji, tiba-tiba dia terdengar ketukan yang kuat di depan pintu. "Nek! Nenekkk! Bukak pintu nek! Cepat!" Ali menjerit seperti orang di rasuk syaitan. Neneknya yang masih bersila di depan Quran terhegeh-hegeh bangun untuk mendapatkan cucu kesayangannya itu. Sebaik dia membuka pintu Ali terus menerpa ke arahnya. "Nek! Tolong Ali nek. Bagi Ali duit nek! Kalau tak nanti Ali kena bunuh!" Nenek Ali yang masih dalam keadaan terkejut itu pun menjawab, "Mana nenek ada duit Li. Kau pun tahu kan?" Ali yang pucat lesi itu terus memegang kedua tangan neneknya dan merayu, "Tolonglah nek. Ali ada berhutang dengan Ah Long ni nek. Dah lama Ali tak bayar. Tadi dia cakap kalau Ali tak bayar malam ni nanti dia datang nak bunuh Ali nek. Tolonglah nek!" Nenek Ali menangis hiba. "Nenek tak ada duit Li. Kau pun dah lama tak pernah bagi nenek duit belanja. Macam manalah nenek nak tolong kau?" Ali yang masih memegang kedua tangan neneknya tiba-tiba terpandangkan sebentuk cincin belah rotan di jari manis kirinya. "Nek, bagi Ali cincin ni nek. Sekarang harga emas dah mahal. Kalau Ali gadaikan mesti dapat banyak ni nek. Boleh ye nek?" 

Nenek Ali termenung sejenak. Dahinya berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. Ali tersenyum. Dia tahu, itulah tandanya neneknya bersetuju dengan cadangannya. "Tidak! Tak boleh cu. Ini cincin kawin nenek. Ini kenangan nenek bersama arwah atuk kau dulu. Bukan kerana nilai wang nya tapi kerana nilai kenangannya." Ali terkejut. Sungguh dia tak sangka neneknya sanggup menolak permintaannya lebih-lebih lagi dalam keadaan nyawanya seperti dihujung tanduk. Ali mula berang. "Sampai hati nenek. Tak kanlah kenangan nenek tu lebih beharga dari nyawa Li?" Nenek Ali terdiam. "Li, apa kata kita report polis ataupun kita cubalah berbincang dengan Ah Long tu. Tunggulah bila kau dapat gaji nanti, kau bayarlah." Pujuk nenek Ali. "Huh! gaji apanya.... aku dah lama kena buang kerja. Eh orang tua, kalau kau tak nak tolong aku, kau tak payahlah susah-susah nak ajar aku apa nak buat pulak!" Bentak Ali.

Nenek Ali terperanjat besar bila mendengar jawapan kasar cucunya itu. Seumur hidup Ali, itulah pertama kali dia bersikap kurang ajar terhadap neneknya. Nenek Ali menangis hiba. " Ali, kenapa kau jadi macam ni cu? Mana silapnya?" kata nenek Ali sambil cuba mengusap lembut bahu Ali. "Ahhhh! sudah lah!" Ali menepis kasar. Secara tak sengaja Ali tertolak neneknya yang uzur itu dengan kuat. Neneknya yang tidak dapat mengimbangkan badan terjatuh terlentang dan kepalanya terhentak rehal Al-quran yang dibacanya tadi. Ali menjadi panik. Dia tak sengaja. Dia tak ada niat pun nak menolak neneknya. Ali terus menerpa kearah neneknya. Dia memangku kepala neneknya. Darah pekat mengalir keluar. Ali menjadi takut. "Nek! maafkan Ali nek! Ali tak sengaja!" Raung Ali sekuat hatinya. Nenek Ali memandang kearahnya dengan mata yang bundar. "Kau memang cucu derhaka" Katanya lalu menghela nafas yang terakhir dalam keadaan matanya yang terbuka. 

Ali menangis. Fikirannya bingung. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tak ada niat langsung untuk menyakiti neneknya. Dalam pada itu dia teringat akan ugutan Ah Long yang akan datang dengan parang untuk mengelar lehernya. Tiba-tiba dia mendapat idea. Oleh kerana neneknya dah mati, maka cincin di jarinya itu 'automatic' menjadi hak Ali. Ali bercadang hendak mengambil cincin itu dan melangsaikan hutangnya dengan Ah Long dan kemudian balik semula ke pondok usang itu untuk menguruskan jenazah neneknya. "Ya... idea tu memang bernas sekali". Ali bercakap sendiri.

Ali meletakkan kepala arwah neneknya yang dipangku tadi ke atas lantai. Dia cuba menutup mata arwah neneknya tetapi tidak boleh. Puas ditekan kelopak mata neneknya itu tetapi sedikit pun ia tak bergerak. Tiba-tiba bulu roma Ali meremang. "Ah sudah lah. Baik aku cepat-cepat keluar dari sini." Fikir Ali. Dia terus menarik cincin di jari manis kiri arwah neneknya itu tetapi cincin itu tidak mahu berganjak. Ia seolah-olah sudah melekat di jari neneknya. Ali cuba memusing-musingkan cincin tersebut. Ia tetap tidak bergerak. Ali sudah mula cuak. Dia memandang di sekelilingnya dan ternampak sebilah parang terselit di tepi pintu. Ali bergegas mendapatkan parang tersebut. Dengan sekali tetakan, jari manis kiri neneknya putus. Ali mengambil cincin dari jari tersebut dan bergegas keluar. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sambil petir berdentum. Ali tetap meredah hujan dan meninggalkan jasad neneknya itu sendirian di pondok usang. Selang beberapa lama, mata nenek Ali terkedip-kedip. 

Tiga hari kemudian, Ali tiba di kampungnya dalam keadaan kusut masai dan bengkak bengkil. Malam yang dia lari bersama cincin arwah neneknya itu, dia teruk dibelasah Ah Long. Walaupun hutang sudah dilangsaikan, dia tetap di belasah teruk kerana membuat Ah Long itu marah. Selepas dibelasah dia dicampak kedalam belukar di sekitar Selangor. Bila Ali terjaga dari pengsan dia tidak tahu dia dimana. Akhirnya ada penduduk kampung yang memberikan sedikit bantuan kepadanya. Selama tiga hari dia berjalan dari sana hinggalah ke Kampung Baru. Ali memang dah insaf. Dia teringatkan arwah neneknya. Tak sabar hatinya untuk pulang ke kampung dan menguruskan jenazah neneknya. Sebaik tiba di kampungnya, Ali terus bergegas ke rumah tok penghulu. Dia ingin meminta bantuan tok penghulu untuk menguruskan jenazah arwah neneknya yang telah tiga hari ditinggalkan. "Tok! Tolong saya tok!" Jerit Ali di depan rumah tok penghulu. Kebetulan tok penghulu sedang membaca surat khabar di ruang tamu rumahnya. "Eh, kenapa ni Ali?" Tanya tok penghulu kehairanan. Ali pun menceritakan apa yang telah terjadi kepada tok penghulu. Tok penghulu menggeleng-gelengkan kepalanya. "Ish ... Ish... Ish... Ali... Ali... kenapalah kamu jadi macam ni? Tapi nasib kamu memang baik. Nenek kamu masih hidup. Baru malam tadi tok lalu di depan rumah nenek kamu. Dia ada tengah duduk atas tangga depan rumah tu. Bila tok tanya dia buat apa, dia kata dia tunggu kau balik. Dia risaukan kau."

Ali terkebil-kebil kehairanan. Dia tidak tahu sama ada dia perlu rasa gembira atau takut. "Eh betul ke tok?" Tok penghulu mengangguk-anggukkan kepalanya. "Iye... betul. Kau pergilah balik mintak maaf dengan nenek kau tu." Ali terpinga-pinga seperti orang bodoh. Dia amat yakin yang neneknya telah mati. Tapi tak kanlah tok penghulu nak berbohong pada dia pulak kan? "Baiklah tok. Kalau macam tu saya balik dululah" Kata Ali sambil berlalu pergi.

Hari sudah semakin senja. Dari kejauhan, Ali nampak pondok usangnya sudah diterangi cahaya lampu. Nampaknya tok penghulu memang bercakap benar. Neneknya masih hidup. Kalau tak, siapa lagi yang menyalakan lampu tu kan? Ali mempercepatkan langkahnya. Tak sabar rasanya dia nak berjumpa dengan neneknya. Dia ingin meminta maaf diatas semua kesalahannya. Dia berjanji akan berusaha keras untuk menebus balik cincin neneknya yang dah digadaikan tu. Bila sudah semakin hampir dengan pondoknya, tiba-tiba Ali tercium bau busuk seperti bau bangkai. Dia memandang keliling kalau-kalau ada bangkai kucing atau anjing yang di langgar lari. Tapi tak ada pulak. Dia menggosok-gosokkan hidungnya. "Ah! nantilah. Besok aku cari bangkai tu nanti. Sekarang aku nak jumpa nenek dulu." Bisiknya didalam hati. Sampai di depan pintu Ali terus memberi salam. Tiba-tiba pintu rumah terbuka. Nenek Ali berdiri di depan pintu. Sebaik terpandang neneknya, bau busuk terus menerobos masuk ke lubang hidungnya. Ali handak termuntah tetapi di tahan juga. Dilihat neneknya berada di dalam keadaan yang baik. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Ali cuba mencuri pandang ke dalam rumah tetapi semuanya dalam keadaan kemas dan terurus. Jadi, dari mana datangnya bau bangkai yang semakin kuat ni?

Ali cepat-cepat mengalih perhatian kepada neneknya. Air matanya berlinangan. "Nek! Maafkan Ali nek. Ali dah insaf. Nasib baik nenek masih hidup. Ali ingatkan nenek dah tak ada." Kata Ali sambil menerpa ke arah neneknya. Dia mengambil tangan kanan neneknya dan mencium berkali-kali. Tangan neneknya keras dan sejuk seperti air batu. Dan yang paling dia tak tahan ialah, bau bangkai tu sebenarnya datang dari neneknya. Ali cuba menahan rasa mual yang bergelodak di dalam perutnya. Dia tidak mahu mengecilkan hati neneknya dengan muntah disebabkan neneknya berbau busuk. Nenek Ali tersenyum dan mengusap-usap kepala Ali lembut. "Masuklah cu. Nenek dah siapkan makan malam. Kita makan sama-sama ye?" Kata neneknya sambil tersenyum. Lega hati Ali mendengar suara neneknya. Dia memandang wajah neneknya sambil tersenyum. Walaupun neneknya meleretkan senyuman tetapi ada sesuatu di wajahnya yang menyeramkan Ali. Ali mengiyakan aja dan terus menuju ke dalam. Neneknya menghilang ke dapur. Ali memandang keliling . Tiada apa yang berbeza sejak dari ditinggalkan tiga hari lepas. Cuma bau bangkai tu aja yang menyesakkan sistem pernafasan Ali.

Sedang Ali mengelamun sendirian, tiba-tiba neneknya dah tercegat didepannya sambil menatang dulang bertutup dengan tudung saji. "Nenek masak apa nek? Macam tau-tau aje Ali nak balik hari ni" Ali tersengih sambil cuba menahan loya di tekaknya di sebabkan dek bau bangkai. "Alah, nenek masak makanan kegemaran kaulah." Kata neneknya sambil perlahan-lahan menghampiri Ali. Nenek Ali berlutut di depan Ali. Dia menatang dulang supaya dulang itu  betul-betul ada di depan muka Ali. Ali jadi tak tentu arah. Bau bangkai semakin kuat menerjah ke lubang hidungnya. Ali tidak dapat menahan lagi lalu termuntah. Dia cuba bangun tetapi badannya menjadi lembik. Bau bangkai tersebut seolah-olah dah menjadi ubat bius yang melumpuhkan seluruh tubuhnya. Sambil tersenyum nenek Ali membuka tudung saji perlahan-lahan. Ali menjadi tak keruan. Dia cuba menutup matanya tetapi kelopak matanya tidak mahu tertutup. Seperti tayangan 'slow motion' Ali melihat neneknya membuka tudung saji. Apa yang ada di dalam dulang itu ialah sebatang jari yang dah berulat dan bernanah. Barulah Ali perasan yang jari manis kiri neneknya yang menatang dulang itu sudah kudung. Nanah hijau dan ulat meleleh keluar dari lubang bekas jari manis itu. Ali ketakutan. Kini baru dia sedar. Mata neneknya yang bundar itulah yang menakutkannya. Nenek Ali menyeringai menampakkan giginya yang tajam. Kulit wajahnya mula mereput dan isinya tertanggal sedikit demi sedikit menampakkan tulang tengkorak. Dia mengilai sekuat hatinya. Ali yang memang sudah ketakutan terkejut mendengar hilaian itu dan terus meninggal dunia.

Keesokkan paginya, seluruh penduduk Kampung Baru gempar dengan kematian Ali yang misteri. Dia mati dalam keadaan terlentang dengan matanya terbuka dan berlumuran muntah yang sudah berulat. Doktor mengesahkan dia mati tercekik muntahnya sendiri. Mayatnya dijumpai oleh neneknya yang baru balik dari bermalam di rumah Mak Cik Som di kampung seberang. Mak Cik Somlah yang telah menawarkan diri merawat jari nenek Ali yang dah kudung tu. Jadi... siapakah yang menyambut kepulangan Ali pada malam itu?

Ha, nilah cerita hantu yang pertama aku dengar dalam hidup aku. Sebenarnya cerita dia pendek je. Akak aku kelentong kat aku. Dia nak terperanjat kan aku. Cerita ni aku dah tokok tambah sendiri mengikut imaginasi akulah. So, aku harap semua yang baca cerita ni terhibur di sambil memikirkan misteri kematian si Ali tu. Hahaha... cuba korang bagi pendapat. Siapa atau apakah yang telah menyambut kepulangan Ali pada malam tu. Bak kata Nabil, "Lu pikirlah sendiri".

Sekian. Sampai bertemu lagi di cerita 2 malam.

Till then.

Amin Affandi

Monday, January 24, 2011

Salam Perkenalan

Hai semua,

Hari ni hari pertama blog Cerita Seribu 1 Malam (CSSM) ni di bangunkan. Tujuan aku menulis di blog ni adalah untuk hiburan semata-mata. Aku bercadang nak memaparkan seribu satu cerita seram, aneh dan misteri di blog ni sebagai koleksi sebab aku memang takjub sangat dengan alam ghaib dan mistik ni. Aku rasa seolah-olah ada satu dunia lain yang penuh dengan keajaiban yang perlu aku terokai. Sebab tu aku suka sangat tengok cerita-cerita berunsur seram dan 'magical'. Yang paling aku suka cerita bersiri 'The Charmed' 'Ghost Whisperer' 'Merlin' 'Super Natural' 'Drop Dead Diva' 'Harry Potter' dan banyak lagilah. Kalau aku nak senaraikan kat sini nanti post ni jadi ruang iklan untuk promosi cerita seramlah pulak kan? Aku bukan ajer suka cerita hantu/seram/misteri 'Mat Saleh', tapi semua bangsa punya cerita pun aku suka asalkan seram dan misteri. Tak kisahlah bahasa apa pun semua aku tengok. Dari 'Mat Saleh' sampailah ke Indon, Cina, Tamil, Hindi, Thailand ... wak emah apa sajalah asalkan ada subtitle.

Bagi sesiapa yang kuat berangan macam aku ni jugak dan nak berkongsi cerita seram dan misteri yang menarik, silalah post kan di blog ni. Cuma kalau boleh janganlah menggunakan nama sebenar dan cerita tu pula janganlah mengandungi unsur-unsur yang sensitif seperti isu agama, politik, perkauman dan sebagainyalah. Aku harap korang fahamlah kan. Bukan apa... tujuan asal aku bangunkan blog ni pun hanyalah untuk me'release'kan stress dan menurutkan hobi aku jer bukannya nak bermusuhan dengan sesiapa jauh sekali nak menyusahkan hidup orang lain termasuklah hidup aku sendiri.

Hari ni aku belum nak paparkan apa-apa cerita seram lagi sebab aku dah penat dan tak sihat lah pulak. Baru berkobar-kobar nak menulis sekali asyik bersin aje. Haiz... ade je masalah. Tapi aku rasalah kan, mungkin ada misteri disebalik bersin aku ni. Tadi ok jer. Bila aku dah dapat idea nak bangunkan blog ni tiba-tiba aku rasa seram sejuk, macam nak demam dan bersin-bersin. Hmmmm.... mungkin dah ada 'follower' di alam ghaib kot. Entahlah. Tapi apa-apa hal, tunggulah kemunculan cerita seram dan misteri aku yang pertama nanti k?

Till then.


Amin Affandi